Tuesday 27 March 2012

SEKELUMIT ILMU DIKONGSI BERSAMA


Taksonomi Bloom

      Dalam bidang pendidikan, taksonomi ialah satu model yang biasa digunakan untuk menganalisis bidang-bidang pendidikan. Ia berkaitan dengan objektif-objektif pendidikan yang melibatkan bidang-bidang seperti pengetahuan, kesikapan dan psikomotor. Terdapat tiga domain dalam pendidikan iaitu yang pertama domain kognitif yang melibatkan pemikiran pelajar dimana menekankan aspek intelektual seperti pengetahuan, pengertian, dan ketrampilan berfikir.  domain afektif yang melibatkan perkembangan sikap, perasaan ,emosi, nilai pelajar seperti minat, sikap, apresiasi dan cara penyesuaian diri. Dan seterusnya adalah domain psikomotor yang melibatkan perkembangan kemahiran fizikal pelajar. Domain Kognitif Taksonomi Bloom merupakan satu aras yang digunakan sebagai elemen di dalam pentaksiran. 

Domain Taksonomi Bloom

Domain taksonomi Bloom menitik beratkan aspek kognitif atau pengetahuan. Taksonomi ini bercorak hierarki iaitu dari tahap rendah kepada tahap tinggi. Terdapat enam elemen dalam domain kognitif  Taksonomi Bloom ini. Elemen-elemen tersebut pula telah dibahagikan kepada dua aras pemikiran iaitu pemikiran aras rendah dan pemikiran aras tinggi.  Dalam taksonomi ini, kita akan mengkaji kesemua aspek taksonomi dari terendah hingga lah yang tertinggi. Berikut adalah hierarki Taksonomi Bloom berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh Benjamin S Bloom.



Rajah 1 : hierarki Taksonomi Bloom



 Elemen-elemen dalam Aras Taksonomi Bloom


Elemen pertama adalah aras pengetahuan iaitu aras taksonomi yang paling rendah. Aras ini menguji sejauh mana keupayaan pelajar untuk mengingat kembali fakta atau pengetahuan yang telah dipelajari. Aras yang kedua adalah pengetahuan tentang proses, aliran, pemeringkatan, penjenisan, teknik atau prosedur tertentu dalam menyelesaikan masalah. Dan aras yang ketiga adalan pengetahuan tentang perkara yang bersifat sejagat dan abstrak dalam sesuatu bidang contohnya seperti siapa, apa, di mana, bila dan beri. Ciri-ciri khusus soalan aras pengetahuan ini ialah murid perlu menggunakan proses mental untuk mengingat semula apa yang telah dipelajari seperti istilah, fakta, prinsip dan prosedur bergantung kepada apa yang telah diajar oleh guru di dalam kelas.

Elemen kedua ialah aras kefahaman. Aras ini memerlukan keupayaan murid memberi huraian atau makna sesuatu perkara. Ciri-ciri soalan bagi aras kefahaman adalah seperti membuat interpretasi mudah dan menunjukkan bukti kefahaman dan dapat menggunakan ayat dan maklumat untuk diubah kepada bentuk yang baru. Perkataan yang sering digunakan dalam soalan bagi aras kefahaman ini adalah seperti jelaskan, huraikan, terangkan, mengapakah, bezakan, nyatakan dan kelaskan.

Elemen yang ketiga adalah aras aplikasi. Aras ini menguji keupayaan pelajar menggunakan konsep, teori, prinsip, hukum dan prosedur. Aras ini memerlukan murid benar-benar memahami segala konsep, teori, hukum untuk menyelesaikan masalah. Soalan aras ini biasanya melibatkan tiga frasa. Perkataan yang sering digunakan dalam soalan bagi aras ini adalah seperti selesaikan, tunjukkan dan susunkan.

Elemen keempat adalah aras analisis. Aras ini mengkehendaki murid untuk memecahkan sesuatu perkara kepada unsur-unsur kecil dan memperlihatkan pertalian antara unsur-unsur. Aras ini menekankan keupayaan pelajar mengenalpasti unsur-unsur dan struktur. Jenis-jenis aras analisis adalan yang pertama aras analisis unsur iaitu memerlukan murid menentukan unsur-unsur. Ciri-ciri soalan aras analisis ialah soalan tersebut menggunakan proses mental analisis dan memerlukan pemahaman perhubungan khasnya dengan memecahkan kepada komponen dan melihat perkaitan antara komponen.

Elemen yang kelima adalah aras sintesis. Aras ini memerlukan keupayaan murid untuk menggabungkan sesuatu struktur yang lebih jelas. Kategori soalan bagi aras sintesis ini penghasilan satu komunikasi unik iaitu pembinaan suatu komunikasi dimana murid cuba menyampaikan suatu idea, perasaan atau pengalaman kepada orang lain. Contohnya kebolehan menulis dengan susunan dan gaya yang menarik untuk menyampaikan buah fikiran.  

Elemen terakhir adalah aras penilaian. Aras ini menguji keupayaan murid menilai sesuatu perkara berasaskan kriteria yang perlu diketahui. Murid perlu membuat pertimbangan tentang nilai sesuatu idea hasil kerja penyelesaian bahan, sesuatu idea atau sebagainya. Membuat penelitian dan pertimbangkan sejauh mana sesuatu bahan atau kaedah memenuhi sesuatu kriteria. Pertimbangan dalam penilaian juga dikategorikan kepada dua iaitu pertimbangan dari segi bukti dalaman iaitu menilai ketepatan sesuatu, menggunakan bukti-bukti logik, ketekalan dan lain-lain. Contohnya perbandingan mengenai teori-teori utama, generaliasasi dan fakta mengenai kebudayaan tertentu.


Taksonomi dalam pendidikan dibahagikan kepada 3 domain. Takonomi Bloom menghuraikan aras yang terdapat dalam domain kognitif yang melibatkan perilaku-perilaku yang menekankan aspek intelektual, seperti pengetahuan, pengertian, dan ketrampilan berfikir. 
Elemen ini disusun secara menaik mengikut aras pemikiran iaitu dari aras mudah kepada aras pemikiran tinggi. 

CONTOH-CONTOH SOALAN UNTUK MURID SEKOLAH RENDAH.


Soalan 1 - Aras Aplikasi
 Tuliskan lima cara melintas jalan dengan selamat.

Soalan 2 - Aras Analisis
 Komputer mempunyai perkakasannya. Nyatakan fungsi setiap perkakasan di bawah.
a.    Papan kekunci 
b.    Tetikus
c.    Pencetak

Soalan 3 - Aras Sintesis
 Penjagaan kesihatan diri sangat penting kepada kita.
‘Nyatakan  cara-cara menjaga kesihatan diri.

Soalan 4 -  Aras Penilaian
Tulis beberapa pengajaran yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Wednesday 14 March 2012

Sajak Untuk Renungan Semua


TAJUK :  KASIHMU GURU.

Guruku
Harapanmu suatu perjuangan
Harapanmu suatu pengorbanan

Guruku
Kejayaan yang kauidamkan
Keringatmu dan impianmu
Terserlah menjadi kenyataan
Itulah janjiku kepadamu

Guruku
Azammu suci dan tulus
Membakar diri menerangi kami
Di matamu kami adalah sama
Tiada yang pintar atau dungu
Kasihmu tiada memilih
Membimbing kami ke sana
Ke puncak menara ilmu.


16 Apakah jenis puisi ini ?
A Sajak
B Syair
C Pantun
D Gurindam

17 Apakah tajuk yang sesuai bagi puisi ini ?
A Keikhlasan guru
B Jasa Guru
C Pengorbanannya
D Tugas Seorang Guru

18 Membakar diri menerangi kami bermaksud………….
A selalu berjuang untuk keselamatan negara
B selalu menepati janji kepada pelajarnya
C berusaha agar pelajarnya berjaya
D berusaha mencapai cita-citanya

19 ‘Puncak menara ilmu’ merujuk kepada ………
A sekolah berasrama penuh
B Pusat Sumber
C Perpustakaan Awam
D Universiti

20 Apakah yang tidak benar tentang puisi ini ?
A Guru pemuisi seorang yang bertanggungjawab
B Guru pemuisi sedang melanjutkan pelajaran di universiti
C Guru pemuisi seorang yang tekun dan tabah
D Guru pemuisi mahu semua pelajarnya berjaya

Thursday 1 March 2012

SAJAK  : Hati Seorang Guru...



Telah tiba saat waktu di takdirkan kita bersama,

kerana takdir yang maha Esa telah menetapkan,

gembira rasa hati ini bila melihatkan

wajah-wajahmu yang menceriakan.

tulus ikhlasmu,luhur akhlakmu bagai tiada penganti.


Senyum tawamu juga usahamu menghiburkan kami.

kenangan indah setiap hari terus bersemadi.

kaulah muridku,kau permata hati.

Ya Allah jadikanlah mereka insan mulia,

insan yg taat perintah agama.



Wahai muridku..bangkitlah dalam perjuangan ini..

walaupun nanti ku tiada di sisi..

perjuangan ini masih jauh beribu batu..

selagi roh masih dijasad,ilmu harus dicari,

sedih rasa hati ini bila mengenangkan.

andai kau masih lalai dan leka.

.

Ya Allah, hadir kami bukan untuk dihargai.

bukanlah pula untuk disanjungi malah bukan untuk disakiti..

sekadar mengisi ruang di hati..

moga bahagia dan berjaya dikau akhirnya..

setangkai doa juga harapan terus ku kirimkan...

moga akhirnya dikau bersama para solihin..

kaulah muridku..kau permata hati..