Sunday, 1 April 2012

KONGSI LAGI : BAIK JADIKAN PANDUAN.....


Contoh Soalan  Objektif  Untuk Sekolah Rendah.
    
       Soalan 1 hingga 7  -  Aras Pengetahuan
1.    Ayah tidak suka makan ikan sungai kerana berbau ________________.
A.   hapak
B.   hanyir
C.   hamis
D.   hancing

2.    Ibu sedang mengopek kulit ________________ udang untuk adik.
A.   seekor
B.   serawan
C.   sebuah
D.   sekeping

3.    Bapa Faizul seorang doktor pakar di sebuah hospital swasta.  ___________bertugas di hospital itu sejak tiga tahun yang lalu.
A.   Aku
B.   Dia
C.   Saya
D.   Beliau

4.    Para pelancong itu amat tertarik akan kehalusan kain songket ____________ Terengganu.
A.   jahitan
B.   sulaman
C.   tenunan  
D.   anyaman

5.    Ibu membubuh garam yang disangkakan gula menyebabkan air kopi yang dibancuhnya terasa amat ________________.
A.   lekit
B.   kelat
C.   tawar
D.   masin

6.    Pesakit yang baru menjalani pembedahan itu _____________ di atas katil.
A.   terbaring
B.   membaringi
C.   perbaringan
D.   membaringkan

7.    Adik menangis apabila jarinya terkena duri pokok __________________.
A.   bunga raya
B.   bunga melur
C.   bunga mawar
D.   bunga tanjung

Soalan  8 hingga 13 - Aras Kefahaman

8.     Dia  telah  mengemukakan  usul  dalam  mesyuarat  itu.
Pilih  perkataan  seerti  bagi  usul.
A.   rumusan
B.   cadangan
C.   keterangan
D.   rancangan

9.    Lampu  di  dalam  bilik  itu  terpadam  secara  tiba-tiba.
Pilih  perkataan  berlawan  bagi  terpadam.
A.   menyala
B.   bersinar
C.   bersilau
D.   mengerlip

Pilih  ayat  tanya  yang  sesuai  bagi  ayat  di bawah

10. Murid-murid  yang  menyertai  lawatan  diberikan  taklimat  keselamatan  sebelum menuju  destinasi.
A.   Mengapakah  murid-murid  diberi  taklimat  keselamatan ?
B.   Bilakah  taklimat  keselamatan  diberikan  kepada  murid-murid ?
C.   Bagaimanakah  taklimat  keselamatan  diberikan  kepada murid-murid ?
D.   Apakah  taklimat  keselamatan  yang  diberikan  kepada  murid-murid ?

Pilih jawapan yang paling sesuai bagi soalan yang diberikan.

11. Mengapakan adik kamu menangis, Siti ?
A.   Adik  tidak menangis.
B.   Memang benar adik selalu menangis.
C.   Adik menangis kerana diusik oleh abang.
D.   Adik selalu menangis kalau ibu tidak melayaninya.

12. Razif berjalan _____________ kerana kakinya tercedera sewaktu bermain bola sepak di padang sekolah petang semalan.
A.   terkial-kial
B.   terkesot-kesot
C.   terhincut-hincut
D.   terhuyung-hayang

Soalan  13  berdasarkan gambar di bawah.

13.  Ibu menanak nasi ___________________ untuk adik kerana dia belum tumbuh gigi.
A.   halus
B.   empuk
C.   lembut
D.   lembik

Soalan  14  hingga 20 - Aras Aplikasi
14. Puan Rokiah menggunakan beberapa ______________ daun sirih untuk membuat _________________ sempena perkahwinan anak saudaranya.
A.   ikat……….gubahan
B.   tangkai ………..susunan
C.   helai ………….hiasan
D.   jambak ……………karangan

15. Petinju Negara  ________________  lawannya sebelum melepaskan tumbukan.
A.   melaga-laga
B.   mengacu-acu
C.   melibas-libas
D.   mengacah-acah

16. Ibrahim menggunakan galah untuk ____________________  dahan pokok yang sekah itu.
A.   mengambil
B.   memetik
C.   mengait
D.   mencantas

17. Bagaimanakah  peniaga  dapat menarik pelancong menikmati makanan Malaysia ?
A.   Mempelbagaikan jenis makanan Malaysia.
B.   Memastikan harga makanan yang sesuai.
C.   Menyediakan nasi lemak dan roti canai.
D.   Memperkenalkan makanan popular negara kita.

18. Petani itu sedang ______________ padi dengan jentera.
A.   mengairi
B.   mengetam
C.   menuai
D.   membaja

19. Bagaimanakah dia datang ke sekolah pada pagi tadi ?
A.   Dia selalu ke sekolah dengan saya pada setiap pagi.
B.   Pagi tadi dia akan ke sekolah dengan Kasim.
C.   Pada pagi itu dia ke sini dengan bas.
D.   Pada pagi tadi dia ke sekolah dengan menaiki teksi.

20. Masalah petempatan di kawasan bandar berpunca daripada ____________ penduduk yang telah tinggi di kawasan itu.
A.   tambahan
B.   pertambahan
C.   penambahan
D.   menambah

Soalan  21 hingga 27 - Aras Analisis
Pilih ayat yang betul.
21. I           Mereka bermain bola sepak pada petang tadi.
II          Mari kita naik  kabel kereta itu.
III         Tolong angkat dua buah bangku kantin.
IV        Budak itu berambut kerinting.
A.   I sahaja
B.   I dan IV sahaja
C.   II dan IV sahaja
D.   I, III, dan IV sahaja

22. “ Siapkan  kerja sekolah dan  susun  buku   di dalam beg  sebelum  tidur, ‘’ kata Puan Yati kepada anaknya.
A.    Puan Rina meminta anaknya menyiapkan kerja sekolah dan menyusun bukunya sebelum tidur.
B.   Puan Rina menyuruh anaknya menyiapkan kerja sekolah dan menyusun buku di dalam beg sebelum tidur.
C.   Sebelum tidur, Puan Rina  menyuruh  anaknya  agar  menyiapkan  kerja sekolah dan menyusun  buku.
D.   Sebelum tidur, PuanRina berpesan kepada anaknya agar menyiapkan kerja sekolah dan menyusun buku di dalam beg.


23. Apakah  langkah-langkah  yang  diambil  oleh  pihak  sekolah  untuk  mengatasi masalah  disiplin  murid ?
A.   Banyak  langkah  yang  diadakan  untuk  meningkatkan  disiplin  murid  di sekolah.
B.   Penglibatan  murid  dalam   pelbagai  program  membantu  mengatasi masalah  disiplin.
C.   Murid-murid  haruslah  mematuhi  segala  peraturan  yang  telah  ditetapkan oleh  pihak  sekolah.
D.   Pihak  sekolah  telah  mengadakan  pelbagai  program  yang  boleh meningkatkan  tatatertib  murid.

Soalan 24 dan 25.
Pilih  ayat – ayat  yang  menggunakan  perkataan bergaris  dengan  betul.
24. I           Selepas  hujan,  air  sungai  itu  mengalir  dengan  deras.
II          Rakan-rakan  Suhaila  mengaguminya  kerana  deras  berpidato.
III         Pandangannya deras, sering mendapat perhatian rakan-rakan sekelasnya.
IV        Larian  Amin  tidak  begitu deras kerana baru sahaja pulih daripada demam.
A.   I  dan  II
B.   II  dan  III
C.   III  dan IV
D.   I  dan  IV

25. I           Sebiji pinggan kaca baru sahaja pecah.
II          Majlis pecah tanah di kampong itu akan dihadiri oleh wakil rakyat.
III         Air hujan terpaksa ditadah di sini kerana atap rumah ini sudah pecah.
IV        Shamsiah dimarahi kawannya kerana pecah rahsia mereka.
A.   I  dan  II
B.   I, II  dan  IV
C.   II, III  dan  IV
D.   I  sahaja

26. Hubungan kedua-dua orang saudara kembar itu sangat erat dan sukar dipisahkan ____________________ .
A.   Seperti cincin dengan permata
B.   Bagai hempedu lekat di hati
C.   Bagai kunyit dengan kapur
D.   Seperti bulan dipagari bintang

27. Kamariah sedang ___________ pulut untuk dibuat pulut panggang.
A.   Merebus
B.   Menanak
C.   Mengukus
D.   memanggang

Soalan 28 hingga 31 berdasarkan puisi di bawah.
Sila baca puisi di bawah dan jawab soalan-soalan berikut.
Kail mengena si ikan jelawat,
Ditangkap nelayan bersama lokan,
Ekonomi Negara semakin gawat,
Tenangkan hati menerima ujian.
            Indah berseri hiasan jati,
            Jati tumbuh di puncak bukit,
            Jangan berbelanja sesuka hati,
            Ada wang lebih simpanlah sedikit.
Petang redup pergi ke pekan,
Pergi ke pekan menaiki basikal,
Belanja sekolah boleh dikurangkan,
Galakkan anak membawa bekal.
            Anak kecil berhidung mancung,
            Pandai mengaji sopan beragama,
            Jika tergerak untuk melancong,
            Negeri sendiri patut diutama.
Gadis manis tersedu-sedu,
Ditinggal bonda dalam bahtera,
Marilah kita bersatu padu,
Negara aman rakyat sejahtera.

Soalan 26  dan  27 - Aras Sintesis
28. Apakah  jenis  puisi  di atas ?
A.   Syair
B.   Sajak
C.   Pantun
D.   Gurindam

29. Pada pendapat kamu, apakah tema puisi di atas ?
A.   Persoalan hidup
B.   Kemasyarakatan
C.   Nilai amalan budi pekerti
D.   Kesungguhan

Soalan 31  dan  32 - Aras Penilaian
30. Nilaikan  yang  manakah  antara  yang  berikut  BUKAN  harapan  penulis?
A.   Berjimat-cermat
B.   Teruskan bersatu padu
C.   Mengaji dan berkelakuan sopan
D.   Tenangkan fikiran menghadapi dugaan

31. Pernyataan yang berikut ada kaitan dengan “ tenangkan hati menerima ujian”  kecuali
A.   Tidak menimbulkan kekecohan
B.   Kesusahan berlaku di atas kesilapan manusia sendiri
C.   Selalu beringat bahawa kehidupan kita tidak selalunya mewah
D.   Setiap ujian yang kita terima perlu dihadapi kerana ada hikmahnya.

Soalan 32 hingga 34 - Aras Sintesis
32. Walaupun hari baru ___________________, namun Pak abu dan Mak Minah sudah turun ke bendang untuk menuai padi.
A.   terpijak tanah
B.   terang tanah
C.   menyekang mata
D.   sekangkang kera

33. Janganlah jadi ______________________ kerana menyembunyikan pendatang tanpa izin selepas tamat tempoh pengampunan itu. Tindakan itu akan menyusahkan diri sendiri kelak.
A.   seperti tikus membaiki labu
B.   seperti lembu dicucuk hidung
C.   seperti mendukung biawak hidup
D.   seperti kambing dihalau ke air

34. Mengapakah tumbuhan menjalar yang terdapat di hutan monsun tropika mendapat  pancaran cahaya matahari yang cukup?

A.   Kerana pokoknya tumbuh jarang-jarang
B.   Kerana cuaca di kawasan tersebut kering sepanjang tahun
C.   Kerana daun-daun akan luruh pada musim kemarau
D.   Kerana pokok-pokok besar di kawasan tersebut selalu ditebang

Soalan 36 dan 37 – Aras Penilaian

35.
Bagai tikus membaiki labu
 


Peribahasa di atas menasihati kita supaya tidak
A.   bersikap memandai-mandai jika tidak tahu akan sesuatu.
B.   Mencuba membuat sesuatu yang orang lain tidak tahu
C.   Menyembunyikan kebolehan yang dimiliki daripada orang lain
D.   Mengambil tahu tentang hal orang lain.

36. Masyarakat yang hidup bersatu padu akan membentuk kehidupan yang lebih aman dan sejahtera tetapi sebaliknya berlaku, masyarakat akan berpecah belah.

Peribahasa yang berikut berkaitan dengan situasi di atas kecuali
A.   Bagai isi dengan kuku
B.   Bagai aur dengan tebing
C.   Bersatu teguh, bercerai roboh
D.   Bukit sama didaki, lurah sama dituruni

Soalan 37 hingga soalan 40 berdasarkan petikan di bawah.

            Suasana di rumah Encik Kamal agak sibuk. Banyak jiran yang datang ke rumahnya. Walaupun majlis perkahwinan anak saudaranya Shakila, akan berlangsung seminggu lagi. Encik Kamal telah menjemput orang kampung bermesyuarat di rumahnya. Ketua kampong, Encik Ibrahim telah mempengerusikan mesyuarat itu. Mereka berbincang tentang pembahagian kerja yang akan dilakukan seperti melapah daging lembu, memasak, mendirikan khemah, membasuh pinggan mangkuk dan sebagainya.
            Pada petang Sabtu, sehari sebelum majlis perkahwinan dijalankan, kemeriahan majlis mula dirasai. Kaum wanita sibuk di dapur. Mereka mengupas bawang, kentang, merebus telur, dan sebagainya. Sementara kaum lelaki pula sibuk dengan tugas-tugas mendirikan khemah. Perancangan teliti yang diatur menjadikan majlis perkahwinan berjalan lancer. Tugas-tugas mengangkat hidangan dilakukan oleh golongan muda. Begitu juga dengan tugas mengemas dan membersihkan meja. Tuan rumah sibuk melayan tetamu yang datang.  Pasangan mempelai tersenyum simpul bersanding di atas pelamin yang direka khas.
Kira-kira pukul 5.00 petang, keadaan di rumah pengantin mulai lengang. Para tetamu mula beredar meninggalkan majlis kenduri itu. Sungguhpun begitu, petugas-petugas masih lagi meneruskan kerja masing-masing sehingga selesai. Encik Kamal dan isterinya sungguh gembira.. Hal ini demikian kerana orang-orang kampung dan saudara mara mereka banyak menghulurkan bantuan.  Konsep “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” yang diamalkan telah memungkinkan majlis perkahwinan tersebut berjalan dengan lancar dan sempurna.

Soalan 37 – Aras Kefahaman
37. Pada hari apakah majlis perkahwinan Shakila diadakan?
A.   Sabtu
B.   Ahad
C.   Isnin
D.   Selasa

Soalan 38 – Aras Kefahaman
38. Siapakah sibuk melayan tetamu semasa berlangsungnya majlis perkahwinan itu?
A.   Shakila
B.   Encik Ibrahim
C.   Encik Kamal
D.   Orang kampung

Soalan 39 dan 40  –  Aras Penilaian

39.  Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing bermaksud…
A.   barang yang berat hendaklah diangkat bersama-sama.
B.   segala kesusahan dan kesenangan sama-sama ditanggung.
C.   sesuatu kerja mestilah dilakukan mengikut perancangan yang betul.
D.   bertolak-ansur dalam membuat sesuatu pekerjaan.

40. Sesuatu majlis memerlukan perancangan yang teliti agar perjalanan sesuatu majlis berjalan lancar. Banyak tugas yang perlu dilakukan sebelum sesuatu majlis perkahwinan itu dilangsungkan.

Pada pendapat anda, kenyataan manakah yang tidak benar ?
A.   merebus telur dilakukan sebelum majlis berlangsung.
B.   mendirikan khemah  dilakukan sebelum majlis berlangsung.
C.   mengupas bawang selalunya dilakukan sehari sebelum majlis berlansung.
D.   Mengangkat hidangan selalu dilakukan sehari sebelum majlis berlangsung.

Tuesday, 27 March 2012

SEKELUMIT ILMU DIKONGSI BERSAMA


Taksonomi Bloom

      Dalam bidang pendidikan, taksonomi ialah satu model yang biasa digunakan untuk menganalisis bidang-bidang pendidikan. Ia berkaitan dengan objektif-objektif pendidikan yang melibatkan bidang-bidang seperti pengetahuan, kesikapan dan psikomotor. Terdapat tiga domain dalam pendidikan iaitu yang pertama domain kognitif yang melibatkan pemikiran pelajar dimana menekankan aspek intelektual seperti pengetahuan, pengertian, dan ketrampilan berfikir.  domain afektif yang melibatkan perkembangan sikap, perasaan ,emosi, nilai pelajar seperti minat, sikap, apresiasi dan cara penyesuaian diri. Dan seterusnya adalah domain psikomotor yang melibatkan perkembangan kemahiran fizikal pelajar. Domain Kognitif Taksonomi Bloom merupakan satu aras yang digunakan sebagai elemen di dalam pentaksiran. 

Domain Taksonomi Bloom

Domain taksonomi Bloom menitik beratkan aspek kognitif atau pengetahuan. Taksonomi ini bercorak hierarki iaitu dari tahap rendah kepada tahap tinggi. Terdapat enam elemen dalam domain kognitif  Taksonomi Bloom ini. Elemen-elemen tersebut pula telah dibahagikan kepada dua aras pemikiran iaitu pemikiran aras rendah dan pemikiran aras tinggi.  Dalam taksonomi ini, kita akan mengkaji kesemua aspek taksonomi dari terendah hingga lah yang tertinggi. Berikut adalah hierarki Taksonomi Bloom berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh Benjamin S Bloom.



Rajah 1 : hierarki Taksonomi Bloom



 Elemen-elemen dalam Aras Taksonomi Bloom


Elemen pertama adalah aras pengetahuan iaitu aras taksonomi yang paling rendah. Aras ini menguji sejauh mana keupayaan pelajar untuk mengingat kembali fakta atau pengetahuan yang telah dipelajari. Aras yang kedua adalah pengetahuan tentang proses, aliran, pemeringkatan, penjenisan, teknik atau prosedur tertentu dalam menyelesaikan masalah. Dan aras yang ketiga adalan pengetahuan tentang perkara yang bersifat sejagat dan abstrak dalam sesuatu bidang contohnya seperti siapa, apa, di mana, bila dan beri. Ciri-ciri khusus soalan aras pengetahuan ini ialah murid perlu menggunakan proses mental untuk mengingat semula apa yang telah dipelajari seperti istilah, fakta, prinsip dan prosedur bergantung kepada apa yang telah diajar oleh guru di dalam kelas.

Elemen kedua ialah aras kefahaman. Aras ini memerlukan keupayaan murid memberi huraian atau makna sesuatu perkara. Ciri-ciri soalan bagi aras kefahaman adalah seperti membuat interpretasi mudah dan menunjukkan bukti kefahaman dan dapat menggunakan ayat dan maklumat untuk diubah kepada bentuk yang baru. Perkataan yang sering digunakan dalam soalan bagi aras kefahaman ini adalah seperti jelaskan, huraikan, terangkan, mengapakah, bezakan, nyatakan dan kelaskan.

Elemen yang ketiga adalah aras aplikasi. Aras ini menguji keupayaan pelajar menggunakan konsep, teori, prinsip, hukum dan prosedur. Aras ini memerlukan murid benar-benar memahami segala konsep, teori, hukum untuk menyelesaikan masalah. Soalan aras ini biasanya melibatkan tiga frasa. Perkataan yang sering digunakan dalam soalan bagi aras ini adalah seperti selesaikan, tunjukkan dan susunkan.

Elemen keempat adalah aras analisis. Aras ini mengkehendaki murid untuk memecahkan sesuatu perkara kepada unsur-unsur kecil dan memperlihatkan pertalian antara unsur-unsur. Aras ini menekankan keupayaan pelajar mengenalpasti unsur-unsur dan struktur. Jenis-jenis aras analisis adalan yang pertama aras analisis unsur iaitu memerlukan murid menentukan unsur-unsur. Ciri-ciri soalan aras analisis ialah soalan tersebut menggunakan proses mental analisis dan memerlukan pemahaman perhubungan khasnya dengan memecahkan kepada komponen dan melihat perkaitan antara komponen.

Elemen yang kelima adalah aras sintesis. Aras ini memerlukan keupayaan murid untuk menggabungkan sesuatu struktur yang lebih jelas. Kategori soalan bagi aras sintesis ini penghasilan satu komunikasi unik iaitu pembinaan suatu komunikasi dimana murid cuba menyampaikan suatu idea, perasaan atau pengalaman kepada orang lain. Contohnya kebolehan menulis dengan susunan dan gaya yang menarik untuk menyampaikan buah fikiran.  

Elemen terakhir adalah aras penilaian. Aras ini menguji keupayaan murid menilai sesuatu perkara berasaskan kriteria yang perlu diketahui. Murid perlu membuat pertimbangan tentang nilai sesuatu idea hasil kerja penyelesaian bahan, sesuatu idea atau sebagainya. Membuat penelitian dan pertimbangkan sejauh mana sesuatu bahan atau kaedah memenuhi sesuatu kriteria. Pertimbangan dalam penilaian juga dikategorikan kepada dua iaitu pertimbangan dari segi bukti dalaman iaitu menilai ketepatan sesuatu, menggunakan bukti-bukti logik, ketekalan dan lain-lain. Contohnya perbandingan mengenai teori-teori utama, generaliasasi dan fakta mengenai kebudayaan tertentu.


Taksonomi dalam pendidikan dibahagikan kepada 3 domain. Takonomi Bloom menghuraikan aras yang terdapat dalam domain kognitif yang melibatkan perilaku-perilaku yang menekankan aspek intelektual, seperti pengetahuan, pengertian, dan ketrampilan berfikir. 
Elemen ini disusun secara menaik mengikut aras pemikiran iaitu dari aras mudah kepada aras pemikiran tinggi. 

CONTOH-CONTOH SOALAN UNTUK MURID SEKOLAH RENDAH.


Soalan 1 - Aras Aplikasi
 Tuliskan lima cara melintas jalan dengan selamat.

Soalan 2 - Aras Analisis
 Komputer mempunyai perkakasannya. Nyatakan fungsi setiap perkakasan di bawah.
a.    Papan kekunci 
b.    Tetikus
c.    Pencetak

Soalan 3 - Aras Sintesis
 Penjagaan kesihatan diri sangat penting kepada kita.
‘Nyatakan  cara-cara menjaga kesihatan diri.

Soalan 4 -  Aras Penilaian
Tulis beberapa pengajaran yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Wednesday, 14 March 2012

Sajak Untuk Renungan Semua


TAJUK :  KASIHMU GURU.

Guruku
Harapanmu suatu perjuangan
Harapanmu suatu pengorbanan

Guruku
Kejayaan yang kauidamkan
Keringatmu dan impianmu
Terserlah menjadi kenyataan
Itulah janjiku kepadamu

Guruku
Azammu suci dan tulus
Membakar diri menerangi kami
Di matamu kami adalah sama
Tiada yang pintar atau dungu
Kasihmu tiada memilih
Membimbing kami ke sana
Ke puncak menara ilmu.


16 Apakah jenis puisi ini ?
A Sajak
B Syair
C Pantun
D Gurindam

17 Apakah tajuk yang sesuai bagi puisi ini ?
A Keikhlasan guru
B Jasa Guru
C Pengorbanannya
D Tugas Seorang Guru

18 Membakar diri menerangi kami bermaksud………….
A selalu berjuang untuk keselamatan negara
B selalu menepati janji kepada pelajarnya
C berusaha agar pelajarnya berjaya
D berusaha mencapai cita-citanya

19 ‘Puncak menara ilmu’ merujuk kepada ………
A sekolah berasrama penuh
B Pusat Sumber
C Perpustakaan Awam
D Universiti

20 Apakah yang tidak benar tentang puisi ini ?
A Guru pemuisi seorang yang bertanggungjawab
B Guru pemuisi sedang melanjutkan pelajaran di universiti
C Guru pemuisi seorang yang tekun dan tabah
D Guru pemuisi mahu semua pelajarnya berjaya

Thursday, 1 March 2012

SAJAK  : Hati Seorang Guru...



Telah tiba saat waktu di takdirkan kita bersama,

kerana takdir yang maha Esa telah menetapkan,

gembira rasa hati ini bila melihatkan

wajah-wajahmu yang menceriakan.

tulus ikhlasmu,luhur akhlakmu bagai tiada penganti.


Senyum tawamu juga usahamu menghiburkan kami.

kenangan indah setiap hari terus bersemadi.

kaulah muridku,kau permata hati.

Ya Allah jadikanlah mereka insan mulia,

insan yg taat perintah agama.



Wahai muridku..bangkitlah dalam perjuangan ini..

walaupun nanti ku tiada di sisi..

perjuangan ini masih jauh beribu batu..

selagi roh masih dijasad,ilmu harus dicari,

sedih rasa hati ini bila mengenangkan.

andai kau masih lalai dan leka.

.

Ya Allah, hadir kami bukan untuk dihargai.

bukanlah pula untuk disanjungi malah bukan untuk disakiti..

sekadar mengisi ruang di hati..

moga bahagia dan berjaya dikau akhirnya..

setangkai doa juga harapan terus ku kirimkan...

moga akhirnya dikau bersama para solihin..

kaulah muridku..kau permata hati..